Atlet olahraga negara, Rayzam Shah Wan Sofian, menamatkan penantian 10 tahun dalam acara 110 meter lari berpagar apabila meraih pingat emas acara itu di Stadium Nasional Bukit Jalil, hari ini.

Rayzam Shah merupakan atlet terakhir negara yang berjaya meraih emas dalam acara itu ketika di Sukan SEA Nakhon Ratchasima (Korat) 2007.

Selepas satu dekad, dia mampu mengulanginya dalam temasya Kuala Lumpur 2017 dengan catatan masa 13.83 saat, menewaskan musuh ketatnya dari Thailand, Jamras Rittidet, yang dikerah berpuas hati dengan pingat perak dengan catatan masa 14.10s.

Gangsa menjadi milik atlet Filipina, Clinton Kingsley, dengan catatan 14.15s.

Rayzam Shah dilihat sebagai calon terbaik untuk mengembalikan pingat emas ke Malaysia setelah berjaya memecahkan rekod kebangsaan berusia 23 tahun milik Nur Herman Majid dengan catatan 13.67 saat yang dilakarnya dalam Kejohanan Kurpfalz Gala, Jerman, 27 Mei lalu.

"Selepas melepasi pagar yang terakhir, saya menyedari mendahului musuh ketat saya dan mengetahui bahawa emas milik saya.

"Terima kasih kepada Kesatuan Olahraga Malaysia kerana mempercayai kebolehan saya. Kini, olahraga berjaya meraih lapan pingat emas dan jika kami berjaya mampu meraih satu lagi emas, ia adalah bonus buat kami," jelas Rayzam yang juga ketua pasukan olahraga negara.

Menariknya, atlet kelahiran Sabah itu membuat keputusan untuk membotakkan kepalanya sebaik menamatkan perlumbaan .



"Saya telah berjanji dengan isteri saya bahawa untuk memotong rambut saya jika saya memenangi acara ini," tambah Rayzam.

Sementara itu, Rittidet berkata dia tidak mempamerkan larian terbaiknya.

"Saya tidak mampu melakukan yang terbaik kerana mengalami kecederaan buku lali," kata Jamras.

Skuad olahraga negara turut diceriakan dengan pertambahan pingat perak menerusi Raja Nursheena Raja Azhar yang membuat kejutan dalam acara 100m lari berpagar wanita.

Dia melakar kepantasan 13.92s, sementara atlet Vietnam, Tran Thi Yen Hoa meraih emas dengan catatan masa 13.40s, , manakala gangsa milik Singapura menerusi Nur Izlyn Zaini (14.14s).

Tonton acara-acara Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 secara langsung dan percuma di Astro Go.

Kredit foto: Media MASOC