Keperluan mengembalikan prestasi Zaidatul Husniah Zulkifli menjelang Sukan SEA Filipina 2019 kekal menjadi agenda utama jurulatih pecut negara. M. Balamurugan, ketika belum ada perincian terhadap kuartet 4x100 meter wanita yang kembali dibentuk.

Ratu pecut negara, Zaidatul Husniah, difahamkan mengalami kecederaan pangkal paha kiri sejak Mac lalu yang menggangu persiapannya bagi menghadapi kempen di Filipina hujung tahun ini.

Bagaimanapun, Balamurugan menegaskan anak buahnya itu tetap memerlukan persekitaran pemanas badan bersifat kompetitif tatkala dua kejohanan sudah berada dalam perancangan Zaidatul Husniah, bulan depan.

"Sekarang saya sudah masuk dalam fasa persiapan bagi mendapatkan rentak kerana saya masih belum menyentuh bab kepantasan. Dalam perancangan saya, aksi pertama buat Zaidatul Husniah adalah Kejohanan Olahraga Perak All Comers dan saya menyasarkan Grand Prix Jepun. Jika diterima, saya akan ke Jepun sebelum Sukan SEA," katanya.

Sebelum memikirkan prospek bagi kuartet 4x100m wanita serta 4x100m campuran, acara reben biru, 100m, kekal sebagai keutamaan perancangan jurulatih itu buat anak didiknya.

Dua tahun lalu dalam temasya Kuala Lumpur 2017, Zaidatul Husniah berada di atas podium apabila memenangi pingat perak.

"Filipina sudah memiliki dua atlet berdarah campuran Amerika Syarikat, jadi kami perlu mengatasi mereka dan begitu juga dengan Singapura. Pencabar memang ramai, jadi saya mempersiapkannya untuk kembali ke podium," tambah Balamurugan.