Pengarah Pendidikan Terengganu, Shafruddin Ali Hussin, meletakkan sasaran 12 pingat emas buat kontinjen Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Terengganu (MSST) dalam Kejohanan Balapan & Padang Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) di Pulau Pinang, hujung bulan ini.

“Selepas sekadar menduduki kedudukan kelima pada 2015 dan keempat tahun lalu ketika menjadi tuan rumah, kami menyasarkan untuk menempatkan diri dalam tiga pasukan terbaik, tahun ini.

“Pungutan sembilan pingat emas tahun lalu juga diyakini mampu ditingkatkan dengan tiga lagi emas menjadikan sasaran keseluruhan 12 emas.

“Malah, kami belum memasukan acara 4x400m yang juga kekuatan Terengganu dalam MSSM, jadi insya-Allah kontinjen negeri ini boleh melebihi sasaran itu,” katanya.

Shafruddin berkata sedemikian selepas Majlis Penutup Kejohanan Balapan & Padang MSST di Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Nerus, dengan menyaksikan beberapa atlet berpotensi kini dalam prestasi terbaik menjelang kejohanan MSSM nanti.

“Sebanyak 12 rekod kejohanan diperbaharui dan itu menambah keyakinan kami untuk menepati sasaran pungutan pingat emas.

“Beberapa atlet bertaraf antarabangsa seperti Azreen Nabila Alias kekal menjadi sandaran Terengganu selain Olahragawan MSST, Ahmad Zakwan Iddin Alias dan Olahragawati, Noor Faizatul Natasha Mohd Bakri.

“Seramai 80 atlet akan menggalas cabaran negeri Terengganu dengan sokongan 20 jurulatih dan pegawai untuk kejohanan edisi ke-59 ini,” tambahnya.