Jaguh lompat tinggi negara, Lee Hup Wei, mendedahkan perasaannya bercampur-baur meskipun meraih dua pingat emas dalam Kejohanan Olahraga Grand Prix (GP) Asia di Chongqing, China.

Hup Wei terpaksa berpuas hati dengan keputusan tidak melepasi catatan terbaik peribadi, 2.28 meter, yang dilakar dalam Kejohanan Klasik Canberra 2018 di Australia.

Atlet kelahiran Selangor berkenaan mencatat ketinggian 2.23m dalam percubaan pertama untuk merangkul emas kedua dengan mengalahkan pesaingnya, Hsiang Chun Hsien dari China, semalam.

Dalam siri pertama Rabu lalu, Hup Wei turut mencatat ketinggian sama untuk emas pertamanya.

"Dua siri kejohanan ini merupakan satu pengalaman untuk saya mengenal pasti kelemahan dan memperbaikinya.

"Saya perlu berehat terlebih dahulu sebelum memikirkan perancangan seterusnya memandangkan saya telah menyertai lima kejohanan berturut-turut baru-baru ini," katanya.

Untuk rekod, bekas juara Asia berusia 32 tahun itu secara keseluruhan memenangi emas ketujuhnya dalam kancah GP Asia.

Dia meraih dua emas di China pada 2009 manakala tiga emas di India setahun kemudian.