Majlis Olimpik Asia (OCA) akan mencipta sejarah apabila ia menganjurkan Larian Ria Sukan Asia Ke-18 di Pyongyang, ibu negara Korea Utara, pada 1 Mei ini.

Dalam satu kenyataan hari ini, OCA berkata pihaknya pertama kali menganjurkan larian itu bagi mempromosikan Sukan Asia di Doha, Qatar pada 2006 sebelum mengadakannya di seluruh benua Asia menjelang berlangsungnya Sukan Asia di Guangzhou, China pada 2010; Incheon, Korea Selatan pada 2014; dan kini bagi Sukan Asia 2018 di Jakarta dan Palembang, Indonesia.

Bagaimanapun, inilah julung kalinya Jawatankuasa Olimpik Republik Rakyat Demokratik Korea terlibat dengan siri Larian Ria Sukan Asia dan OCA gembira kerana dapat melakukan kunjungan rasmi sulungnya ke Pyongyang sejak enam tahun lalu.

"Kami sungguh gembira dan bangga kerana berpeluang bekerjasama rapat dengan Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan DPR Korea dan OCA amat teruja untuk mengulangi lawatannya ke Pyongyang tidak lama lagi," kata Presiden OCA, Sheikh Ahmad Al Fahad Al Sabah.

"Larian Ria ini terbukti sangat popular dan merupakan acara menyeronokkan bagi mempromosikan Sukan Asia dalam kalangan generasi muda penggemar sukan di samping menggalakkan mereka melibatkan diri secara aktif dan mengamalkan gaya hidup sihat.

"Kami yakin Larian Ria Sukan Asia di Pyongyang pada 1 Mei nanti akan menjadi acara istimewa bagi pergerakan Olimpik dan suatu kejayaan besar bagi semua pihak berkenaan.

"Kami mengucapkan terima kasih kepada Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan DPR Korea atas sokongan dan usaha mereka dalam menganjurkan Larian Ria Pyongyang dan kami ingin mengucapkan selamat maju jaya kepada atlet DPRK, yang akan bertanding dalam Sukan Asia Ke-18 di Jakarta dan Palembang, Indonesia pada Ogos dan September ini," katanya.

Sementara itu, menurut Jawatankuasa Olimpik Korea Utara, larian itu yang meliputi jarak 5km, akan berlangsung di kompleks sukan di Chongchun Street.

Lebih 200 pelari, termasuk pelajar, atlet dan orang ramai akan mengambil bahagian dalam acara itu.

OCA memulakan siri larian itu Disember lalu dan acara berkenaan akan mengunjungi lebih 33 Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan di kesemua lima zon di benua Asia sebelum berlangsungnya Sukan Asia Ke-18 di Jakarta dan Palembang dari 18 Ogos hingga 2 September depan. -- BERNAMA