Pelari jarak sederhana olahraga para negara, Mohd Nurdin Ibrahim, memasang impian tinggi mahu mengikut jejak langkah rakan senegara seperti Mohd Ridzuan Puzi dan Ziyad Zolkefli yang telah berjaya menakluki saingan peringkat dunia.

Kejayaan beberapa rakan senegara di pentas antarabangsa menjadi inspirasi kepada Nurdin yang semakin bersemangat untuk menghadapi Sukan Para ASEAN.

Berazam mahu turut dikenali seperti mereka satu hari nanti, Nurdin yang berhajat mahu meraih tiga pingat emas mahu menjadikan Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur sebagai batu loncatan.

Dia bakal beraksi dalam acara 800 meter dan 5,000 meter T20 selain turun mempertahankan pingat emas 1,500 meter yang dimenangi di Singapura dua tahun lalu.

"Saya sangat bersemangat mencipta kejayaan seperti Ziyad dan Ridzuan untuk bergelar juara dunia pada masa akan datang," kata Nurdin.

Sementara itu, Abdul Latif Romly yang bakal membawa bendera negara dalam upacara pembukaan, berharap rakyat negara ini dapat turun memberikan sokongan sepanjang Sukan Para ASEAN berlangsung.

Baginya, atlet para wajar meraih sokongan sama seperti atlet normal kerana mereka juga membawa maruah negara di pentas antarabangsa.

"Kepada rakyat Malaysia, turunlah memberikan sokongan kepada atlet para dalam Sukan Para ASEAN nanti," kata Latif.