Pemain hoki negara, Nuraini Abdul Rashid, menganggap calon yang akan mengambil alih tugas Dhaarma Raj Abdullah berdepan tugas berat untuk membentuk skuad wanita dalam tempoh dua tahun bagi meneruskan misi ke Sukan Olimpik.

Skuad wanita negara bakal mendapat sentuhan baru apabila pengendali berusia 51 tahun itu tidak lagi membimbing mereka selepas lima tahun berkhidmat.

Calon untuk menggantikan Dhaarma, bagaimanapun, belum diketahui Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) sedia memberi peluang kepada sesiapa yang mampu menggalas cabaran tersebut.

Bagaimanapun, Nuraini optimis badan induk itu mempunyai jalan terbaik untuk skuad wanita negara yang bakal menghadapi kempen Sukan Asia dan Piala Dunia yang menawarkan tiket ke Sukan Olimpik Paris 2024.

"Kami perlu seiring dengan pasukan-pasukan Asia yang lain.

"Saya mengharapkan jurulatih yang akan dilantik kelak memiliki kelebihan tersebut.

"Kami mengharapkan prestasi yang lebih baik dan dapat berbuat sesuatu untuk layak ke Sukan Olimpik," katanya di Bukit Jalil, semalam.

Pemain yang pernah berkhidmat bersama pasukan East Grinstead itu mengakui terkilan dengan ketiadaan Dhaarma sambil menganggap sentuhannya mampu membawa kejayaan pada masa depan.

"Pemain perlu akur dengan keputusan KHM tetapi ketika ini soal pelantikan jurulatih dan barisan pemain masih menjadi tanda tanya.

"Malah, kedudukan saya sendiri pun belum pasti akan terbabit bersama pasukan pada masa depan.

"Kami berharap apa sahaja langkah KHM kelak akan membawa kebaikan untuk pasukan hoki wanita negara."



Editor: Shaiful Shamsudin