Pemain skuad ragbi 7's wanita negara, Nur Zieeyah Jerry, berperang dengan masa untuk kembali memperkuatkan pasukan menjelang Sukan SEA Filipina, November depan.

Nur Zieeyah digugurkan daripada skuad kebangsaan sejak menjalani pembedahan ligemen lutut, Disember lalu.

Atas nasihat doktor, pemain berusia 23 tahun itu perlu berehat sekurang-kurangnya sembilan bulan.

Bagaimanapun, dia dapat melihat kemajuan dalam dirinya dan bersedia untuk menerima cabaran dalam Sukan SEA.

Atlet berasal dari Sabah itu optimis dengan kelebihan yang dimiliki pasukannya dan yakin mereka mampu memberikan saingan hebat dalam Kejohanan Pirika Moshiri 7's di Jepun minggu depan.

"Kecederaan yang saya alami ini ialah ACL (anterior cruciate ligament).

"Saya baru menjalani pembedahan pada Disember lalu, jadi ia sudah hampir enam bulan.

"Disebabkan kecederaan ini, saya sudah terlepas banyak perlawanan," katanya.

Nur Zieeyah mengorbankan cuti sambutan Aidilfitri dengan mengambil keputusan untuk berada di pusat latihan kelab Cobra di ibu negara bagi memberikan tumpuan penuh terhadap proses pemulihannya agar dapat kembali menyertai pasukan kebangsaan

"Ia mengenai keserasian kami.

"Kami berada di sini dengan kelebihan tersendiri.

"Dengan kelebihan itu, kami menggabungkannya untuk menjadi satu pasukan yang boleh pergi lebih jauh," tambahnya.