Johor Jewels menepati ramalan apabila berjaya mara ke final Netball Super League selepas berjaya mengatasi Perak Phoenix dalam aksi separuh akhir di Stadium Juara, Bukit Kiara, sebentar tadi.

Johor selaku juara Kumpulan B meraih jalan yang lebih mudah dalam separuh akhir, bertemu naib juara Kumpulan A, Perak selepas mengatasi Selangor Angels dalam aksi terakhir peringkat kumpulan sebelum ini.

Skuad bimbingan Fazira Mesnan itu cemerlang memulakan permainan dalam suku pertama, mendahului 18-10 sebelum menggandakan pungutan jaringan ketika tamat separuh masa pertama dengan meraih kelebihan 36-21.

Gandingan tengah Fariha Razak serta Pow Mei Fong sekali lagi menjadi nadi permainan cemerlang Johor, mengawal rentak permainan serta gerakan pantas membawa bola ke arah jaring lawan.

Menamatkan suku ketiga 55-27, Johor tidak memperlahankan tempo permainan sebelum menang 69-36 untuk mara ke final bagi bertemu KL Wildcats yang mengatasi Selangor sebentar tadi.