Masa depan empat penembak negara yang digugurkan daripada Program Podium akan diketahui minggu depan apabila satu mesyuarat khas membabitkan Persatuan Menembak Kebangsaan Malaysia (NSAM) dan Institut Sukan Negara (ISN) akan diadakan.

Beberapa penembak negara seperti Nur Ayuni Farhan Abdul Halim menyuarakan rasa tidak puas hati selepas digugurkan daripada program elit itu.

Mereka mendakwa tidak diberikan bantuan secukupnya dalam program latihan, termasuk kekurangan peluru untuk berlatih dan kekurangan menyertai kejohanan sehingga menjejaskan prestasi.

Selepas ISN didakwa menggugurkan mereka secara mengejut tanpa berbincang, satu mesyuarat akan diadakan untuk menentukan hala tuju mereka.

"Kami akan berjumpa dengan atlet dan mendapatkan maklumat selanjutnya. Kami dimaklumkan pihak Program Podium tidak melakukan perbincangan terlebih dahulu sebelum menggugurkan nama mereka," kata pengurus skuad menembak negara, Mohd Emran Zakaria.

Selain Ayuni, turut digugurkan ialah Nur Suryani Mohd Taibi, Muslifah Zulkifli dan Mohd Ezuan Nasir Khan.

Keempat-empat atlet itu sedang menyertai siri Piala Dunia di India dan dijangka pulang ke tanah air, Jumaat ini.

Berikut pencapaian empat atlet menembak yang digugurkan:

Nur Suryani Mohd Taibi
- Sukan Asia Incheon 2014: Perak 50m rifle & gangsa 50m rifle berpasukan
- Sukan Komanwel Glasgow 2014: Gangsa 10m air rifle
- Sukan SEA 2011: Emas 10m air rifle & 50m rifle
- Sukan SEA 2013: Gangsa 50m rifle berpasukan
- Sukan SEA 2015: Perak 10m air rifle berpasukan & gangsa 50m rifle, 2 perak 50m rifle berpasukan.

Muhammad Ezuan Nasir Khan
- Sukan SEA 2015: Perak 10m air rifle berpasukan
- Sukan Asia Incheon 2014: Perak 50m rifle

Nur Ayuni Farhana Abdul Halim
- Sukan Asia Incheon 2014: Gangsa 50m rifle berpasukan
- Sukan SEA 2015: Gangsa 10m air rifle, perak 10m air rifle berpasukan, emas 50m rifle, 2 perak 50m rifle berpasukan

Muslifah Zulkifli
- Sukan Asia Incheon 2014: Gangsa 50m rifle berpasukan
- Sukan SEA 2015: Perak 10m air rifle berpasukan, 2 perak 50m rifle berpasukan
- Sukan SEA 2013: Gangsa 50m rifle berpasukan