Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Norza Zakaria, buat kali pertama secara terbuka mengumumkan kesediaannya untuk bertanding jawatan presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

Sejak presiden MOM, Tunku Imran Tuanku Jaafar mengumumkan keputusannya tidak mempertahankan jawatan berkenaan, Norza menjadi calon pilihan bagi menerajui pucuk pimpinan MOM.

Pada pemilihan MOM 2015, Norza memenangi jawatan timbalan presiden.

Malah beliau juga menjadi pilihan oleh Tunku Imran bagi meneruskan kesinambungan MOM sebagai peneraju utama sukan di Malaysia.

Meskipun peluang Norza menerajui MOM tampak seperti tiada halangan, beliau tetap sedia untuk menghadapi sebarang cabaran menjelang pemilihan MOM, Mei nanti.

Ketika ini belum ada individu yang dikatakan berminat untuk jawatan presiden namun persaingan sengit dijangka bagi kedudukan timbalan presiden.

"Tentu sahaja saya ada berbincang dengan rakan-rakan.

"Secara tidak rasmi, saya telah memberitahu kepada ahli persatuan untuk bertanding jawatan presiden.

"Mereka yang dipilih adalah secara sukarela untuk mencurahkan masa dan berkorban demi memastikan sukan lebih maju lagi pada masa akan datang.

"Saya berasakan itu lebih penting berbanding mengejar jawatan semata-mata," beritahu Norza.