Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Seri Norza Zakaria, memberi amaran kepada persatuan sukan kebangsaan agar tidak meminta derma secara terbuka untuk membayar 50 peratus kos atlet kebangsaan ke Sukan SEA Filipina, November depan.

Persatuan sukan kebangsaan perlu membayar deposit 50 peratus kos penyertaan atlet kategori B ke Filipina selewat-lewatnya 20 September depan.

Baki 50 peratus lagi perlu dilangsaikan sebelum mereka berlepas ke Filipina.

Namun, apa yang menjadi kebimbangan apabila ada persatuan yang merancang menjalankan kutipan derma secara terbuka dan ia menyalahi peraturan MOM.

"Mereka telah diberitahu bahawa sekiranya diletakkan dalam kategori B, 50 peratus perlu disediakan. Apa yang lebih penting adalah komitmen yang diberikan oleh persatuan untuk tidak membebankan atlet seperti menyebabkan mereka terpaksa bertemu wakil rakyat atau menteri bagi mendapatkan peruntukan," kata Norza.

"Saya fikir komitmen telah diberikan dan diharapkan persatuan akan memenuhinya."

Malaysia dijangka menghantar 725 atlet ke Filipina, sekali gus mencatat rekod penyertaan terbesar di luar Kuala Lumpur, mengatasi temasya di Korat, Thailand pada 2007.

Norza ditemui ketika menyaksikan final Kejohanan Floorball Kebangsaan di Puchong, Selangor di mana Pulau Pinang menjuarai saingan lelaki dan wanita.

"Kami pernah berdepan lawan sama di peringkat kumpulan dan Pulau Pinang tewas 6-4. Jadi, kami perlu beraksi dengan baik dan turun berbekalkan taktikal yang berkesan. Saya rasa hari ini menunjukkan hasilnya," ujar kapten skuad floorball lelaki Pulau Pinang, Chiam Ter Min.