Presiden baru Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Seri Norza Zakaria, mengambil pendekatan berbeza apabila mahu badan itu lebih telus, terutama membabitkan pemilihan atlet, pegawai dan sasaran pingat dalam temasya sukan.

Norza, yang mengambil alih pucuk pimpinan MOM daripada Tunku Imran Tuanku Ja'afar, berpendapat badan induk itu perlu lebih telus.

Ia susulan dakwaan MOM tidak mengamalkan sikap terbuka dalam pemilihan atlet dan pegawai, malah enggan mengumumkan sasaran rasmi kontinjen Malaysia dalam beberapa temasya sukan.

Ia termasuk Sukan Asia Incheon 2014, Sukan Komanwel Glasgow 2014 dan Sukan Komanwel Gold Coast 2018.

"Pendekatan saya -- seperti timbalan saya cakap sebelum ini akan umumkan sasaran -- lebih untuk meletakkan sasaran.

"Paling penting adalah persediaan kita. Kami perlu perancangan yang jelas. Saya rasa kita perlu lihat kepada kekuatan dan kelemahan," kata Norza dalam sidang media selepas mesyuarat agung tahunan (AGM) MOM, hari ini.

Ketika ini, lebih 500 atlet berada dalam senarai awal untuk ke Sukan Asia Indonesia, dari 18 Ogos hingga 2 September depan.

Terdahulu, mesyuarat agung tahunan (AGM) MOM menyaksikan tumpuan terhadap jawatan timbalan presiden dan setiausaha agung yang digalas individu baru.

Timbalan presiden, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi menewaskan Datuk Megat Zulkarnain Omardin sementara setiausaha agung, Datuk Mohd Nazifuddin Mohd Najib, menumbangkan penyandang, Datuk Low Beng Choo.

Turut mencuri tumpuan, dua wakil wanita, Datuk Paduka Mumtaz Begum Abdul Jaffar dan Datuk S. Shamala turut menganggotai lima jawatan naib presiden.

Keputusan pemegang jawatan dan ahli lembaga eksekutif MOM bagi penggal 2018-2021

Presiden:

Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria

Timbalan Presiden (1 Jawatan):

1) Datuk Megat Zulkarnain Omardin: 43 Undi
2)Datuk Seri Azim Mohd Zabidi: 54 Undi(*)

Naib Presiden (5 Jawatan):

1) Datuk Dr Zakaria Ahmad: 42 Undi
2) Datuk Paduka Mumtaz Begum Abdul Jaffar: 84 Undi (*)
3) Datuk Ong Poh Eng: 69 Undi (*)
4) Datuk Nur Azmi Ahmad: 46 Undi
5) Mahinda Vallipuram: 47 Undi (*)
6) Tan Sri Mohamad Noor Abdul Rahim: 49 Undi (*)
7) Datuk S. Shamala : 73 Undi (*)
8) Datuk Mohamad Taufik Omar: 39 Undi
9) Nik Razeen Adam Daud: 36 Undi

Setiausaha Agung (1 Jawatan)

1) Datuk Low Beng Choo: 48 Undi
2) Datuk Mohd Nazifuddin Mohd Najib: 49 Undi (*)

Penolong Setiausaha Agung Lelaki

Chan Foong Keong

Penolong Setiausaha Agung Wanita

Moira Tan Siew See

Bendahari

Ahmad Feisal Ahmad Tajuddin

Penolong Bendahari (1 Jawatan)

1) Datuk Amarjit Singh Gill: 39 Undi (*)
2) Datuk Chong Kim Fatt: 37 Undi

*Menang