Kapten skuad hoki wanita negara, Siti Noor Amarina Ruhani, mahu rakan sepasukannya bijak memanfaatkan setiap peluang yang terhidang bagi menghadapi kempen Liga Hoki Dunia yang sedang berlangsung di Brussels, Belgium.

Noor Amarina merupakan penjaring gol tunggal Malaysia setakat ini, namun kegagalan pasukannya meraih sebarang mata membuatkannya tidak berpuas hati.

Bagaimanapun, Noor Amarina berharap satu gol yang dijaringkan ketika menentang Sepanyol itu mampu membakar semangat anak buah Muhammad Dhaarma Raj Abdullah bagi menghadapi Belgium dalam aksi seterusnya.

“Seperti yang jurulatih jelaskan, kami akan sukar untuk mencari ruang menjaringkan gol dalam kejohanan ini, jadi setiap kesempatan yang terhidang perlu digunakan sebaik-baiknya.” ujarnya.

“Sasaran sebenar adalah Belgium, jadi masih ada peluang untuk kami layak ke suku akhir,” tambahnya.

Kemenangan ke atas Belgium yang juga tuan rumah bakal mencerahkan peluang untuk skuad hoki wanita negara untuk beraksi di pentas Piala Dunia 2018.