NEW ZEALAND 1 MALAYSIA 0

Malaysia terus kempunan kemenangan dalam Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah apabila tewas 1-0 kepada New Zealand di Stadium Hoki Azlan Shah, Ipoh, malam ini.

Ia adalah kekalahan ketiga skuad negara selepas tewas 6-1 kepada Australia, tumpas 1-0 di tangan Great Britain, selain seri 1-1 menentang Jepun.

Pada minit ketiga, Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil mengawal bola dengan baik di depan gawang sebelum membuat percubaan tersasar.

Sebaik suku kedua bermula, Malaysia sekali lagi mendapat peluang berharga menerusi Muhammad Firhan Ashaari tetapi pukulannya turut gagal menemui sasaran.

Selepas itu, salah seorang pemain New Zealand muncul melakukan jaringan padang, malangnya ia tidak dikira kerana pengadil mendapati pukulan itu terkena rakannya sebelum bola masuk ke jaring Malaysia.

Skuad Malaysia Tigers kemudiannya memperoleh empat pukulan sudut penalti pada suku kedua tetapi pukulan akhir daripada Muhammad Razie Abdul Rahim gagal memberikan sebarang gol.

Sebaliknya, penjaga gol negara, Mohd Hafizuddin Othman, tewas mudah sejurus selepas itu apabila New Zealand memanfaatkan satu-satunya pukulan sudut penalti mereka dalam separuh masa pertama, menerusi Kane Russel pada minit ke-25.

Pada separuh masa kedua, Malaysia memohon rujukan video apabila bola dilihat terkena kaki Russel, sebelum pengadil mengesahkannya dan memberikan skuad negara pukulan sudut penalti kelima.

Bagaimanapun, malang terus menimpa skuad negara apabila sekali lagi gagal menyempurnakannya, malah nasib sama berlaku kepada pukulan sudut penalti keenam, ketujuh dan kelapan yang dimiliki Malaysia.

Selepas itu, Faizal Saari -- yang berada dekat dengan pintu gol -- pula membuang peluang dan tidak mencemaskan pertahanan lawan apabila pukulannya jauh tersasar.

Kemudiannya, Malaysia melakukan serangan daripada sebelah tepi tetapi hantaran lintang daripada Firhan ditampan kemas penjaga gol lawan.

Sekalipun menunjukkan persembahan bertenaga, aksi Malaysia belum cukup menembusi gawang New Zealand untuk menamatkan perlawanan keempat itu dengan kekalahan.

Malaysia hanya mengumpul satu mata daripada empat perlawanan untuk mengekalkan mereka di tangga terbawah dalam kelompok enam pasukan bertanding.

Dalam aksi yang berlangsung pada sebelah petang menyaksikan Australia menewaskan Great Britain 2-1 dan India menewaskan Jepun 4-3.