Selepas menjaringkan 11 mata dalam suku pertama sewaktu Los Angeles Lakers tewas 108-116 kepada New Orleans Pelicans dalam perlawanan NBA hari ini, LeBron James kemudian mengalami kecederaan buku lali yang disifatkannya sebagai "amat buruk".

James menamatkan perlawanan itu, di mana dia mendaftarkan 39 mata, tetapi mengakui kecederaan berkenaan lebih teruk daripada apa yang disangka.

Selepas menjaringkan 69 mata dalam separuh masa pertama, Lakers kemudian mengalami kemerosotan dalam dua suku terakhir dan hanya dapat mengumpulkan 39 mata berbanding 41 yang diilakukan Pelicans dalam suku ketiga.

Bercakap selepas perlawanan itu, James berkata bahawa dia mungkin tidak akan meneruskan saingan itu seandainya ia bukan perlawanan penting buat pasukannya.

"Saya tidak pasti bagaimana saya dapat meneruskan permainan, selepas melihat ulang tayang, ia agak ngeri.

"Saya hilang aksi terbaik, kebanyakan waktu saya hanya bermain setempat. Ia amat buruk ketika ini.

"Pada ketika saya terseliuh buku lali, saya rasa sakit yang mencucuk di kaki saya dan ia mula berasa panas. Saya pernah melaluinya sebelum ini tetapi saya tidak mahu dikeluarkan daripada perlawanan ini.

"Saya sedar betapa besarnya perlawanan ini buat kami," katanya.