Stephen Curry memacu Golden State Warriors bangkit dalam suku keempat dan menyumbangkan 40 mata sewaktu menewaskan Cleveland Cavaliers 104-86 dalam perlawanan NBA hari ini.

Curry pada awalnya berdepan risiko tidak diturunkan dalam perlawanan itu berikutan kesakitan di bahagian pinggulnya tetapi mengatasi masalah itu dengan merekodkan 40 mata, termasuk sembilan jaringan tiga mata, untuk Warriors meningkat kepada 13-2.

Golden State ketinggalan 13 mata menjelang suku terakhir tetapi merekodkan 17-0 pada awal suku berkenaan, yang dibantu tiga jaringan tiga mata daripada Curry.

Curry menyumbangkan 13 mata sewaktu kedudukan 17-0 dalam suku itu sebelum Warriors menamatkan tempoh berkenaan dengan 36-8.

Draymond Green memainkan peranan besar dalam merencana serangan menerusi 14 bantuan yang didaftarkannya buat Warriors manakala Darius Garland pula menyumbangkan 25 mata buat Cavaliers.

Curry juga memecahkan rekodnya sendiri selaku pemain paling banyak melakukan jaringan tiga mata dalam 15 perlawanan pertama bagi satu musim NBA selepas merekodkan 85 jaringan bagi mengatasi catatan 80 jaringan yang dilakukannya dalam musim 2018-19.