Naib Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Mohd Nazifuddin Mohd Najib, mendakwa bahawa wujudnya dominasi seorang ‘individu’ dalam badan induk itu.

Beliau, yang akan bertanding jawatan setiausaha agung MOM dalam mesyuarat agung tahunan (AGM) pada 5 Mei ini, berkata apabila seseorang individu memegang jawatan bagi tempoh yang lama, keputusan yang dibuat oleh badan itu boleh dipengaruhi oleh legasi dan emosi individu berkenaan.

Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan individu berkenaan.

Justeru, seandainya menang dalam pemilihan kali ini, beliau berjanji memastikan semua keputusan diambil secara telus dan sistematik, termasuk pemilihan atlet dan ketua kontinjen (CDM) untuk temasya sukan.

Mohd Nazifuddin, yang juga timbalan presiden Taekwondo Malaysia, akan mencabar kerusi panas yang disandang oleh Datuk Low Beng Choo dalam pemilihan bagi penggal 2018-2021.

Selain itu, beliau turut berjanji untuk berjuang bagi membantu persatuan-persatuan sukan kebangsaan (NSA) yang menghadapi masalah, selain memberikan nafas baharu kepada bangunan Wisma MOM dan hotel yang terletak di Jalan Hang Jebat di sini.

“Selepas satu penggal menjadi naib presiden, saya membuat keputusan untuk bertanding jawatan setiausaha agung kerana saya lihat banyak perubahan yang boleh dibuat. Kini MOM macam satu institusi yang lebih mementingkan individu,” katanya dalam sidang media, hari ini.

“MOM seharusnya tidak jadi macam bos kepada NSA, tetapi harus membantu mereka...misalnya apabila sukan taekwondo, angkat berat dan sepak takraw dikeluarkan sebagai sukan teras, sepatutnya MOM telah menolong dan berpihak kepada NSA,” katanya.

Mohd Nazifuddin juga berjanji untuk membawa lebih banyak wakil generasi muda ke dalam MOM serta mahu generasi muda mengenali MOM, kerana menurutnya, ramai golongan muda tidak mengenali MOM buat masa ini.

“Selain itu, Sukan Olimpik 2020 di Tokyo juga akan memperkenalkan banyak sukan baharu seperti papan selaju dan sukan memanjat. Jadi inilah peluang untuk bawa ramai anak muda kita kerana sukan-sukan ini sangat baharu, jadi di peringkat antarabangsa ini belum ada atlet nombor satu,” katanya.

Beliau jawatan setiausaha agung badan induk itu memerlukan seorang yang boleh bekerjasama dengan semua pihak, malah beliau menghormati Beng Choo yang sangat berpengetahuan dan aktig dalam sukan antarabangsa.

Sementara itu, Beng Choo, wanita pertama memegang jawatan itu dalam MOM, berharap akan mendapat sokongan daripada NSA untuk terus berkhidmat demi pembangunan sukan tanah air.

“Ini adalah satu pemilihan melalui proses demokratik. Jadi keputusan adalah di tangan pihak persatuan sukan kebangsaan,” katanya ketika dihubungi.

Baru-baru ini, Beng Choo yang juga Setiausaha Agung Persekutuan Sofbol Antarabangsa (WBSC) turut tersenarai di kedudukan ke-17 dalam Forbes’ ‘Inaugural list of the 25 Most Powerful Women in International Sports 2018’.

Selepas pencalonan ditutup semalam, Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria, menang jawatan presiden MOM selepas menang tanpa bertanding apabila menjadi calon tunggal untuk jawatan itu.

Presiden MOM selama 20 tahun, Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja’afar, tidak mempertahankan jawatannya.

-- BERNAMA