Australia terus membawa tuah buat atlet lompat tinggi negara, Nauraj Singh, apabila berjaya mempertahankan gelaran dalam Kejohanan Klasik Canberra untuk permulaan cemerlang musim 2017.

Lebih sebulan berkelana di Australia di bawah kendalian jurulatih, Alex Stewart, terus membuahkan hasil buat Nauraj.

Nauraj sekali lagi membuktikan dia atlet terbaik negara dengan mempertahankan kejuaraan dengan catatan 2.25m, sekaligus menjadi kejuaraan pertamanya musim ini.

Seorang lagi atlet negara, Lee Hup Wei, meraih gangsa dengan lompatan 2.16 meter.

"Saya sangat gembira dengan keputusan ini tetapi masih belum berpuas hati. Ia adalah satu permulaan yang baik dan saya akan cuba untuk meningkatkan kualiti lompatan saya," kata Nauraj.

Walaupun baru sahaja pulih daripada kecederaan siku, namun itu bukan penghalang buat Nauraj untuk mengekalkan aksi terbaik.

Selepas ini, Nauraj akan beraksi dalam satu kejohanan di Sydney dan Terbuka Australia sebelum kembali ke Malaysia.