Jaguh lompat tinggi negara, Nauraj Singh, lega apabila Majlis Sukan Negara (MSN) sedia membiayai perbelanjaan untuk dia mengharungi program latihan selama lima minggu di Australia bermula bulan depan.

Nauraj tidak akan mensia-siakan sokongan penuh daripada MSN untuk dia meneruskan latihan di Australia selepas cemerlang memperbaharui rekod kebangsaan, 2.19 meter, dalam Kejohanan Olahraga Dalam Dewan di Jerman minggu lalu.

Terdahulu, dia mengeluarkan perbelanjaan sendiri untuk menjalani latihan di Eropah sebelum pulang ke tanah air Ahad lalu.

Bagi Nauraj, bantuan daripada MSN kali ini sememangnya diperlukan untuk membuktikan prestasinya mampu meningkat bersama jurulatih, Alex Stewart.

"Akhirnya saya menerima berita baik daripada MSN bahawa mereka akan membantu saya untuk menjalani latihan di Australia. Saya difahamkan beberapa peruntukan telah diluluskan dan saya sangat gembira," katanya.

Nauraj akan kembali ke Malaysia pada awal April depan bagi melakukan persiapan fasa akhir menjelang Kejohanan Trek dan Padang Asia (ATF) bermula 19 April di Doha, Qatar sebelum kembali merangka program latihan di Australia bagi mencapai misi layak secara merit ke Kejohanan Dunia 2019.

"Tentunya saya gembira untuk kembali ke Australia tetapi sekarang saya menjalani latihan kerja di Institut Sukan Negara (ISN).

"Saya harus berada di sini. Perancangan sebenar adalah saya perlu banyak melalui aksi kompetitif di Eropah, jadi saya perlu merancangnya dengan baik."