Pemegang rekod lompat tinggi kebangsaan, Nauraj Singh Randhawa, sekali muncul juara dalam tempoh dua minggu apabila mengungguli Kejohanan Olahraga Kladno Hazi di Republik Czech.

Dia yang berhijrah ke Jerman sejak hujung tahun lalu, mencatatkan 2.22m untuk memecah rekod kejohanan.

Lebih menarik, ia pingat emas keduanya dalam tempoh dua minggu selepas muncul juara di Hungary, minggu lalu.

"Saya gembira kerana dapat tempat pertama dan mengumpul mata.

"Dalam masa sama, saya meniti laluan yang tepat kerana minggu lalu saya mencatat lompatan setinggi 2.27 meter dan kali ini 2.22m.

"Ia jarak yang hampir sama kerana inilah yang saya mahu melihat apabila menyertai kejohanan.

"Saya tidak boleh jauh daripada catatan itu jadi pencapaian ini memacu keyakinan saya," katanya dalam Nadi Arena sebentar tadi.





Bagaimanapun, dia mengakui laluannya masih jauh untuk layak ke Sukan Olimpik Tokyo bulan depan yang mengetengahkan 32 atlet terbaik dunia.

"Saya rasa masih sukar untuk layak ke Sukan Olimpik Tokyo memandangkan tempat adalah terhad berikutan situasi pandemik yang melanda sekarang.

"Musim panas baru bermula di sini maka ia memerlukan saya bertanding dalam lima kejohanan.

"Ia mungkin terlalu mendesak tubuh saya."