Jaguh lompat tinggi negara, Nauraj Singh, kini makin selesa untuk meneruskan misi besar dalam Liga Emas, Persekutuan Olahraga Antarabangsa (IAAF) di Kawasaki, Jepun, bulan depan.

Ia susulan kejayaannya memperbaharui rekod kebangsaan dalam Kejohanan Olahraga Terbuka Singapura, hari ini.

Nauraj mencipta kejutan apabila melakar rekod kebangsaan dengan lompatan 2.30 meter, melepasi catatan 2.29m yang dilakukannya dalam kejohanan sama pada tahun lalu untuknya layak ke Sukan Olimpik Rio.

Bezanya kali ini, rekod baru yang diciptanya itu menyaksikan Nauraj layak secara merit ke Kejohanan Dunia di London, Ogos depan pula.

Ingin mengetepikan dahulu misi di London, Nauraj mahu memastikan rekod yang lebih baik melebihi 2.30m mampu dilakar dalam penampilan sulungnya dalam Liga Emas.

"Saya teruja untuk memberikan aksi terbaik di Kawasaki nanti di samping bersaing dengan nama-nama besar dunia," ujar atlet berusia 25 tahun itu.

Begitupun, dia tidak menolak tekanan semakin dirasai untuk merealisasikan harapan rakyat Malaysia yang ingin melihat kejayaannya dalam Kejohanan Dunia dan pentas Sukan SEA.

"Saya tidak sabar untuk beraksi dalam Sukan SEA dan Kejohanan Dunia.

"Kedua-duanya akan berlangsung pada awal dan hujung Ogos.

"Jadi, saya mahu beraksi cemerlang dalam kedua-dua kejohanan."