Bintang sensasi dari Jepun, Shinsuke Nakamura membuat kejutan apabila berjaya membenam juara dunia sebanyak 16 kali, John Cena di acara Smackdown Live minggu ini.

Tambah manis, kemenangan ini sekaligus mengesahkan tempat buat bintang berusia 37 tahun ini selaku pencabar utama Kejuaraan WWE, dan akan bertemu penyandang juara Jinder Mahal di acara WWE Summerslam pada 21 Ogos depan.

Pertembungan buat pertama kali dalam sejarah antara Nakamura dan Cena ini amat dinanti-nantikan dan dinamakan sebagai perlawanan impian. Sejak perlawanan ini diumumkan oleh Daniel Bryan minggu lalu, WWE dan para peminat tidak henti-henti menyatakan keterujaan untuk menyaksikan perlawanan yang berkelas PPV ini.

Perlawanan bermula agak perlahan dengan keduanya saling berbalas ajukan gaya masing-masing. Beberapa minit berselang, rentak perlawanan mula bertukar ritma kepada sesuatu yang lebih rancak apabila Nakamura dan Cena mula melancarkan gerakan-gerakan berbahaya kepada pihak lawan.



Satu gerakan kunci STF nyaris berjaya diikat oleh Cena namun berjaya ditangkis kemas dan dibalas dengan kunci lengan. Cena juga berjaya mengesampingkan gerakan ini dan membalas dengan satu gerakan ampaian (clothline) keras sehingga menyebabkan Nakamura terpusing hampir 360 darjah.

Nakamura yang bingkas bangkit tidak lama kemudian cuba melayangkan satu tebakan lutut tepat ke arah Cena. Ia berjaya dielak dan satu hempasan Penyelarasan Sikap (Attitude Adjustment) berjaya dilakukan ke atas Nakamura. Sayang sekali apabila King Of Strong Style ini masih mampu bertahan dan menidakkan tiga kiraan pin oleh pengadil.

Tidak percaya dengan apa yang berlaku, Cena meledakkan satu lagi gerakan AA ke atas Nakamura dan cuba melakukannya untuk kali ketiga. Nakamura yang licik bijak meloloskan diri dan memberikan satu bantingan ke belakang menyebabkan belakang kepala Cena mendarat keras di atas lantai gelanggang.



Tanpa perlu menunggu lama, Nakamura dengan pantas menyusul dengan satu lagi tendangan kuat Kinshasa tepat ke muka Cena dan berjaya menindan untuk tiga kiraan pin.

Atas dasar profesionalisme, kedua penggusti ini saling berjabat tangan pasca perlawanan dan Nakamura turut meminta maaf kepada Cena atas hempasan keras ke kepala Cena sebelum itu. Namun Cena berkata yang Nakamura tidak perlu meminta maaf kerana bahaya sebegitu sentiasa ada dan ia bukanlah sesuatu yang disengajakan.


Insiden pendaratan bahaya ke atas belakang kepala Cena itu mengundang buah mulut para peminat gusti termasuk beberapa penggusti sendiri. Jika dilihat betul-betul, ia kelihatan amat berbahaya dan jika berlaku sedikit kesilapan sahaja, pasti boleh mengundang padah seperti akan berlakunya kepatahan leher, kecederaan saraf tunjang yang menyebabkan kelumpuhan atau lebih buruk, membawa maut.

Mengulas tentang perkara tersebut, bekas bintang Cruiserweight WWE, Austin Aries menulis di Twitter yang menyatakan Cena bernasib baik kerana Nakamura tidak memecahkan tulang orbital mata Cena. Untuk rekod, Aries terpaksa berehat beberapa bulan tahun lalu gara-gara cedera di mata susulan satu perlawanan di acara Live Events dengan Nakamura.


Lain pula komen daripada Kevin Owens. Secara sarkastik, bekas Juara Amerika Syarikat ini menulis tiada apa yang perlu digusarkan tentang Cena kerana bintang itu adalah robot Transformers. Tweet ini merujuk kepada laporan berita yang menyatakan Cena akan membintangi filem spin off Transformers iaitu Bumblebee yang telah pun memulakan penggambarannya beberapa hari lalu.



Dalam pada itu, Nakamura melalui catatan di Twitter pula melahirkan rasa gembira atas kejayaannya itu dan berterima kasih kepada John Cena serta para penonton Smackdown Live di Cleveland.


Juara WWE, Jinder Mahal yang turut sama memantau perjalanan perlawanan itu berkata, dirinya tidak kisah siapa yang perlu didepani di Summerslam kelak. Yang pasti, lawannya itu pasti akan kecundang dan akan melebarkan lagi legasinya sebagai Juara WWE terhebat dalam sejarah. Tambah Jinder lagi, Nakamura hanyalah batu loncatan untuknya membuktikan keupayaan sebenar dirinya sebagai juara.



Foto ihsan: WWE.com


Langgani satu-satunya saluran gusti 24 jam di Malaysia, WWE Network. Saksikan kesemua acara WWE Pay-Per-View secara langsung! Tidak lupa juga kepada program-program eksklusif WWE Network, hanya di Astro & Astro Go.

Hafiz Azwany Taher merupakan pengasas kepada kelab komuniti Peminat Gusti Malaysia yang kini telah menghimpunkan lebih 19,000 peminat gusti di Malaysia. Diasaskan pada tahun 2010, komuniti ini kini merupakan platform utama para peminat gusti di Malaysia untuk berkongsi minat yang mendalam terhadap sukan gusti professional.