Atlet One Silat, Naimul Amal, enggan mengulangi kesilapan sama dalam Cabaran Ranger, Kejohanan Dunia One Silat apabila pernah tewas kepada pesilat Filipina, Rabin Sornito Catalan, Ogos tahun lalu.

Naimul bakal beraksi dalam perlawanan Cabaran Ranger yang akan berlangsung 1 April depan bagi kategori flyweight.

Atlet berusia 29 tahun itu adalah antara pesilat Malaysia yang terpilih bagi acara itu setakat ini dan berkemungkinan akan ada lagi wakil Malaysia yang akan dipilih untuk melengkapkan enam pesilat bagi Cabaran Ranger.

Sedar kesilapan kurang fokus sewaktu berdepan Catalan tahun lalu menjadi punca tewas, dia optimis mampu beraksi lebih baik untuk pertempuran itu nanti.

"Setiap perlawanan adalah satu misteri kerana tiada sesiapa mampu menjangka apa yang akan berlaku. Cuma apa yang saya boleh lakukan adalah untuk melengkapkan diri saya menghadapi apa jua situasi," katanya.

Naimul turut berharap adiknya, Dhiaaul Amar, juga mampu mempertaruhkan aksi terbaik dalam final berdepan Isroijon Rasulov dari Uzbekistan dalam kategori bantamweight yang bakal berlangsung di Stadium Badminton Kuala Lumpur.

"Bagi adik saya, saya percaya dia mampu menandingi pesaing dari Uzbekistan itu," tambahnya.