Kejayaan jaguh berbasikal trek negara, Azizulhasni Awang, muncul juara dunia dalam keirin mencetuskan sensasi, apatah lagi dia terpaksa menunggu selama 10 tahun untuk mengecap kejayaan ini.

Azizulhasni hanya dianggap sebagai pelumba bertubuh kecil yang datang dari Dungun, Terengganu.

Percubaan pertama pada Kejohanan Dunia 2007 di Sepanyol tidak membuahkan sebarang hasil dengan percubaan kedua pada 2008 turut menghasilkan keputusan sama.

Dua kegagalan itu menjadi pengalaman cukup berharga buat atlet berusia 29 tahun itu dan dia terus berlatih tanpa jemu di bawah kendalian ketua jurulatih negara, John Beasley.

Akhirnya, kejayaan sulung muncul dalam Kejohanan Dunia 2009 apabila dia berjaya meraih pingat perak sebelum diberi gelaran 'The Pocket Rocketman' kerana memiliki kekuatan kayuhan pantas meskipun bertubuh kecil.

Selepas kejayaan itu, Azizul tidak lagi menoleh ke belakang, sebaliknya terus mengejar kejuaraan dunia yang sering menjadi idamannya.

Sementara itu, jurulatih pelapis trek negara, Muhammad Edrus, melihat kejayaan Azizulhasni mampu menyuntik semangat atlet berbasikal negara yang lain, apatah lagi dengan temasya Sukan SEA semakin menghampiri.

"Mereka menjadikan Azizul sebagai idola, jadi mereka akan melihat kejayaan Azizul sebagai penyuntik semangat untuk mengecapi kejayaan.

"Kami telah membuat persiapan untuk menghadapi Sukan SEA, insya-Allah jika tiada sebarang halangan, misi 13 pingat emas dalam acara berbasikal mampu dicapai," katanya.

Sementara itu, pelumba pelapis trek negara, Mohd Hafiq Huzni, ketika ditemui Nadi Arena turut mengakui melihat kejayaan Azizul menjadi pembakar semangat untuk skuad berbasikal negara.

"Ketika saya menyaksikan perlumbaan itu, memang naik bulu roma saya. Bagi saya, Azizul sememangnya legenda bagi sukan berbasikal trek."