Bekas pemain utama skuasy lelaki negara, Nafiizwan Adnan, tidak berselindung dengan realiti di sebalik keperluan pemain terbaik Malaysia agar berhijrah ke Eropah dan Mesir bagi mencabar pemain elit dunia.

Pengganti kepada bekas pemain kelahiran Terengganu itu, Ng Eain Yow, mengikut jejak langkahnya dengan mengambil keputusan untuk berkelana ke England bermula hujung tahun lalu.

Nafiizwan, yang menghabiskan sisa kerjaya di Malaysia susulan persaraannya Mei tahun lalu, menjadikan Manchester sebagai pangkalan latihannya.

Pada pandangannya, ia bukanlah menafikan program Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) tetapi mengakui keperluan pemain terbaik negara untuk berada dalam persekitaran yang membabitkan pemain lebih berkualiti selain aksi kompetitif yang berterusan.

"Ia satu tindakan yang bagus buat Ng Eain Yow yang menyambung pengajiannya di Bristol (England).

"Lima pemain terbaik negara, baik lelaki mahupun wanita, sepatutnya berpangkalan di luar negara.

"Apabila hari-hari berlatih dengan pemain yang di ranking lebih tinggi, prestasi mereka akan lebih cepat meningkat.

"Di England, misalnya, ada liga perdana, kebangsaan, negeri dan daerah. Jadi, pemain akan berlatih pada sebelah siang manakala pada malam, beraksi dalam saingan liga.

"Pemain juga boleh menyertai liga sekitar Eropah seperti di Belanda, Belgium dan Republik Czech yang hanya memerlukan penerbangan pendek," katanya di Bukit Jalil, semalam.




Editor: Shaiful Shamsudin