Rafael Nadal tidak akan menyertai Kejohanan Tenis Wimbledon dan Sukan Olimpik Tokyo bulan depan dalam usaha memanjangkan karier gemilangnya.

Juara 20 kali kejohanan grand slam itu tersingkir dalam separuh akhir Terbuka Perancis kepada juara kejohanan itu, Novak Djokovic, hujung minggu lalu.

Menjelang dua minggu sebelum kejohanan grand slam di London itu, pemain berusia 35 tahun berkenaan mendedahkan bahawa dia tidak akan beraksi di All England Club dan Sukan Olimpik Tokyo.

"Hai semua, saya sudah membuat keputusan untuk tidak beraksi dalam Kejohanan Wimbledon dan Sukan Olimpik Tokyo tahun ini," tulis pemain Sepanyol itu dalam satu ciapan Twitter.

"Ia bukan satu keputusan yang mudah tetapi selepas melihat keadaan tubuh saya dan berbincang dengan pasukan saya, saya faham ini adalah satu keputusan tepat.

"Tujuannya adalah untuk memanjangkan karier saya dan meneruskan apa yang membuatkan saya bahagia, iaitu bersaing di peringkat tertinggi dan berjuang demi sasaran profesional dan peribadi dalam kejohanan di tahap maksimum," katanya.