Dominic Thiem bertekad mengatasi Rafael Nadal dalam final Terbuka Perancis malam ini selepas memusnahkan impian Novak Djokovic untuk menggondol kesemua kejuaraan grand slam tahun ini.

Pemain Serbia, Djokovic, menyasarkan untuk membolot keempat-empat kejuaraan utama buat kali kedua dalam kariernya.

Namun, walaupun mempamerkan kebangkitan daripada ketinggalan 4-1 ketika set terakhir, penyandang juara Wimbledon, Terbuka Amerika Syarikat serta Terbuka Australia itu tidak mampu mengekang pakar gelanggang tanah liat dari Austria, Thiem, dalam aksi separuh akhir di Roland Garros.

Thiem menamatkan perlawanan dengan kemenangan 6-2, 3-6, 7-5, 5-7, 7-5 dalam perlawanan yang bermula kelmarin tetapi terpaksa disambung semalam akibat hujan di Paris.

Kini, 'Raja Tanah Liat' menunggu Thiem yang berharap dapat mengelak daripada ulangan final tahun lalu, di mana Nadal mengatasinya menerusi straight set.

Nadal akan cuba mendapatkan kejuaraan Terbuka Perancis buat kali ke-12 dan Thiem berkata: "Apabila seseorang mara ke final di sini, ia menentang Nadal.

"Tahun lalu merupakan pengalaman hebat dan sudah tentu saya akan cuba untuk tampil lebih baik kali ini.

"Sudah tentu dia menjadi pilihan. Dia beraksi dalam final kali ke-12 sementara saya memasuki kali kedua.

"Namun, saya tidak sabar untuk beraksi, mengerah segala kudrat di gelanggang dan lihat nanti."

Thiem dan Djokovic mempamerkan aksi getir dalam perlawanan itu dan Thiem memandang serius perlawanan pertamanya dalam kejohanan melibatkan lima set.

"Ia satu permulaan bagus apabila saya memilihnya," katanya selepas perlawanan.

Thiem juga mendedahkan dia teruja untuk berada dalam separuh akhir bersama Nadal, Djokovic dan Roger Federer apabila menggelarkan mereka sebagai tiga pemain terbaik sepanjang zaman.

"Setiap saat menewaskan mereka adalah sesuatu yang hebat. Mereka telah memenangi lebih 50 grand slam. Jadi, sukar untuk mempercayai kejayaan ini."