Dua gol dalam dua perlawanan belum memuaskan hati pemain tengah Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC), Nabil Fiqri Mohd Noor, yang kembali ke pangkuan pasukan itu selepas tamat kursus latihan asas inspektor polis.

Kehadiran semula Nabil dan pertahanan, Muhammad Razie Abd Rahim, bagaikan membakar semangat baru buat KLHC dan terbaru, gandingan kedua-dua pemain itu membantu melakar kemenangan 4-0 ke atas Maybank.

Mereka memainkan tugas penting membantu KLHC merangkul kemenangan kelapan liga untuk terus beri tekanan terhadap pendahulu, Terengganu Hockey Team (THT).

"Saya memerlukan lebih lagi perlawanan bagi mendapatkan balik 'match fitness' kerana jelas dalam suku pertama dan kedua, saya agak bergelut.

"Dalam empat perlawanan terakhir ini, saya perlu gunakan kesempatan sepenuhnya untuk mendapatkan kembali sentuhan," kata Nabil.

KLHC dan THT sedang terikat 26 mata dengan saingan liga berbaki empat perlawanan.

Perebutan kejuaraan Liga Hoki Malaysia (LHM) akan bertambah menarik tatkala kedua-dua pasukan akan bertembung dalam aksi terakhir, 19 Februari ini.

Jika Razie dan Nabil meningkatkan prestasi mereka, tidak mustahil KLHC mampu memecah dominasi THT selaku juara liga sejak tiga tahun lalu.

"Kehadiran Razie dan Nabil banyak memberikan impak positif. Razie banyak membantu di bahagian pertahanan sementara Nabil mengukuhkan lagi jentera serangan, ini satu berita baik buat KLHC," jelas kapten pasukan, Sukri Mutalib.