"Tolong pertimbangkan kami," itu komen Presiden Persekutuan Luncur Beroda Malaysia (MYSKATE), Ahmad Idroose Mohad Tambarin, selepas menghantar rayuan menjelang Mesyuarat Jawatankuasa Rayuan Sukan Asia di Majlis Olimpik Malaysia (MOM), esok.

MYSKATE meletakkan harapan tinggi buat penampilan sulung dalam Sukan Asia.

Mereka mencalonkan atlet luncur ais, Mohd Hazim Syahmi Shahrum, untuk beraksi dalam acara 20km speed skating.

Tidak kira sama ada Hazim berada dalam kategori A atau B, apa yang penting bagi MYSKATE adalah mempunyai wakil ke Indonesia.

"Sukan ini memerlukan pengiktirafan dan dengan kami beraksi dalam Sukan Asia, ia mampu meningkatkan lagi minat rakyat Malaysia," kata Idroose.

Sebanyak lapan persatuan sukan kebangsaan sudah menghantar rayuan kepada MOM.

Senarai awal menyaksikan Malaysia bakal menghantar kontinjen terbesar dalam sejarah dengan 437 atlet dan jumlah itu dijangka meningkat.