Andy Murray menjangkakan pertembungan sukar ketika menghadapi Kyle Edmund dalam aksi keduanya di sebalik persembahan memberangsangkan untuk permulaan kempennya dalam Kejohanan Battle of the Brits.

Dalam aksi kompetitif pertamanya sejak tampil dalam perlawanan akhir Piala Davis November lalu, pemenang tiga gelaran grand slam itu mencatat kemenangan 6-2, 6-2 ke atas Liam Broady, awal pagi tadi.

Murray sempat mengakui bahawa dia tidak mempunyai banyak peluang untuk berlatih sebelum mengambil bahagian dalam kejohanan pertunjukan di Pusat Tenis Nasional di Roehampton itu sambil menjelaskan matlamat utamanya adalah untuk "mengharungi kejohanan" dengan ketahanan badannya.

Pemain Scotland itu mengalami masalah kecederaan pinggul tetapi dengan servisnya berjalan dengan baik dan sekali sekala menunjukkan kualiti yang tidak dipertikaikan lagi, dia terbukti terlalu ampuh untuk Broady.

Namun, dia enggan terbawa-bawa dengan persembahannya itu dengan menggambarkannya sebagai "baik-baik saja" ketika wawancara pasca pertarungan itu dengan Amazon Prime Video.

"Servis saya cukup baik, saya fikir saya melakukannya dengan baik sepanjang perlawanan ini. Saya memungut banyak mata percuma menerusinya -- saya sudah banyak berusaha terhadap servis," katanya.

"Saya tidak memukul bola dengan baik dari hujung gelanggang, banyak kesalahan dan keseimbangan saya tidak begitu hebat. Saya tidak mengagak lantunan bola dengan baik tetapi ia tidak mengapa.

"Memandangkan ini perlawanan pertama dalam tempoh tujuh bulan selain saya tidak banyak berlatih dan tidak melakukannya dengan baik dalam perlawanan latihan, jadi ia tidak mengapa."

Begitupun, Murray dijangka bakal menghadapi masalah apabila berhitung dengan Edmund -- yang memulai kempennya dengan mengetepikan James Ward.

"Dia cergas, memukul bola dengan kuat jadi saya sendiri akan terkejut jika saya dapat mengatasinya," kata pemain nombor 129 dunia itu mengenai lawan berikutnya itu.

"Sekiranya saya beraksi seperti hari ini dan memukul bola dengan lebih baik dari belakang gelanggang, maka saya boleh menghidupkan peluang kepada diri saya sendiri. Tetapi ia akan menjadi pertarungan sukar."

Acara yang dianjurkan oleh Jamie Murray itu mengikuti garis panduan kesihatan yang ketat kerana ia berlangsung di tengah wabak COVID-19.