Pemain tenis wanita Sepanyol, Garbine Muguruza, sedang mempersiapkan diri untuk muncul selaku pemain nombor satu dunia buat pertama kali dan dia menyifatkannya sebagai satu mimpi menjadi kenyataan.

Pemenang Wimbledon 2017 itu ditunjukkan jalan keluar dalam pusingan keempat oleh Petra Kvitova ketika beraksi dalam kejohanan Terbuka Amerika Syarikat.

Bagaimanapun, pilihan utama, Karolina Pliskova, perlu layak ke final untuk mengekalkan kedudukannya di puncak carta dunia, namun terkandas dalam suku akhir apabila tewas di tangan pemain tuan rumah, Coco Vandeweghe, sekaligus membuka ruang buat Muguruza untuk naik ke tangga pertama.

“Saya sangat gembira untuk berkongsi bersama anda bahawa impian saya untuk menjadi pemain nombor satu dunia bakal terlaksana pada Isnin,” katanya menerusi satu video di laman sosial Twitter peribadinya.

“Saya tidak akan berjaya meraih semua ini tanpa bantuan daripada keluarga, pasukan, peminat dan seperti saya katakan, ia ibarat mimpi menjadi kenyataan.

“Diharapkan saya boleh mempertahankan gelaran ini selama yang mungkin.”