Garbine Muguruza berkata dia tidak berdepan sebarang tekanan dalam Terbuka Amerika Syarikat ekoran statusnya yang sering menjadi pemain pilihan ramai.

Selepas meraih kejuaraan grand slam kedua di Wimbledon, Julai lalu, Muguruza menikmati kejayaan di Terbuka Western dan Southern bulan ini selepas menewaskan Simona Halep dalam final.

Kemenangan 6-0, 6-3 ke atas Varvara Lepchenko hampir pasti melambangkan permulaan positif dalam kempen Muguruza di New York.

Bercakap selepas kemenangannya di Stadium Arthur Ashe, pilihan ketiga kejohanan itu mengakui keyakinannya berada di tahap terbaik.

"Keyakinan saya di tahap tertinggi," katanya.

"Saya melakar kemenangan besar baru-baru ini dan bermain dalam banyak pertandingan, jadi saya rasa cukup bagus.

"Tetapi seperti saya katakan, beraksi dalam Terbuka AS dengan beberapa pengalaman buruk, sudah tentu saya tidak meletakkan harapan tinggi.

"Saya menganggap setiap perlawanan adalah aksi final. Ia sangat penting. Saya gembira pusingan pertama saya berlangsung dengan baik."

Ditanya apakah perasaannya menjadi pemain pilihan, Muguruza berkata: "Saya tidak terlalu memikirkannya kerana saya tidak rasa diri saya sebagai pilihan. Ini kerana saya tidak pernah beraksi dengan baik dalam kejohanan ini.

"Jadi, buat masa ini fokus saya adalah untuk menikmati kejohanan ini dan berasa gembira kerana mara ke pusingan kedua."