Garbine Muguruza akan memberi sokongannya kepada Roger Federer dalam final perseorangan lelaki Wimbledon malam ini supaya dia dapat menari dengan bintang Switzerland itu dalam majlis makan malam meraikan juara.

Muguruza meraih gelaran grand slam keduanya semalam dengan kemenangan 7-5, 6-0 ke atas Venus Williams di Gelanggang Tengah, dengan pemain Sepanyol itu memenangi sembilan game terakhir untuk menjulang trofi.

Tradisi Wimbledon menetapkan juara perseorangan lelaki dan wanita akan menari bersama-sama dalam parti selepas selesai kejohanan, yang bermakna juara wanita berusia 23 tahun itu akan berpasangan dengan Federer atau Marin Cilic.

Muguruza berharap untuk melihat jaguh berusia 35 tahun itu tampil pemenang untuk melihat sendiri gerak tarinya.

"Oh, ayuhlah!," katanya ketika ditanya mengenai pilihan pasangan tarinya, sebelum menambah: "Roger.

"Dan saya juga sukakan Cilic, saya harus katakan dengan serius. Tapi saya mahu melihat sama ada dia juga hebat di lantai tari.”

Kemenangan menyeluruhnya ke atas Williams adalah pembalasan dendam buat Muguruza yang ditewaskan dalam final 2015 oleh adik Venus, Serena.

Katanya, memori daripada kekalahan dalam final itu mendorongnya untuk meningkat dan dia gembira dapat mencapainya tanpa menunggu terlalu lama.

“Saya sentiasa bermotivasi tinggi ketika menyertai grand slam,” katanya. “Sejak saya tewas dalam final di sini, saya mahu menukar keadaan itu.

“Saya datang dengan memikirkan saya cukup bersedia dan berasa baik. Ketika kejohanan dan perlawanan, saya berasa lebih baik lagi. Dalam setiap perlawanan, saya meningkatkan tahap saya.

"Saya fikir hari ini (semalam), saya bermain dengan baik,” kata Muguruza yang tampil selaku pemain Sepanyol kedua memenangi gelaran perseorangan Wimbledon, mencontohi jurulatih sementaranya, Conchita Martinez, yang unggul pada 1994.