Saingan muay thai memberikan cerita emosi dengan harapan pingat emas, Ain Kamaruddin, bangkit daripada tragedi peribadi untuk melangkah ke separuh akhir Sukan SEA ke-29 bagi kategori bawah 57 kilogram, semalam.

Ain tidak menampakkan petanda dia terkesan dengan sebarang gangguan ketika turun menentang wakil Singapura, Lee De Jun.

Hakikatnya, 22 Ogos lalu dia dan keluarganya di Kuala Krai, Kelantan, meratapi kehilangan bapanya, Kamaruddin Hamzah.

Waktu sukar itu dijadikan sebagai sandaran untuk memastikan kemenangan, apatah lagi strategi dalam pusingan pertama tidak menjadi.

Dua pusingan berikutnya menyaksikan Ain mengasak lawan dengan kaki kanannya ibarat senjata pemusnah untuk menewaskan De Jun dengan catatan mata 29-28.

"Arwah pernah berhasrat untuk bersama Ain dalam Sukan SEA tetapi hasrat itu tidak kesampaian.

"Jadi, saya berasa amat hiba dengan apa yang berlaku sehingga berasa sedikit lemah.

"Tetapi untuk negara, saya perlu menguatkan diri. Kemenangan ini untuk rakyat Malaysia dan ahli keluarga," katanya.

Tonton acara-acara Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 secara langsung dan percuma di Astro Go.