Serdang Angels dijulang selaku juara selepas mencatat kemenangan 34-19 ke atas Koba RC dalam perlawanan akhir Liga Ragbi Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS) anjuran Kesatuan Ragbi Selangor (KRS).

Pemain Serdang Angels, Muhammad Kamal Hamidi Mohd Raihan, menyumbang 10 mata menerusi dua try diikuti sembilan mata daripada Muhammad Azwan Zuwairi Mat Zizi yang berjaya menghasilkan tiga conversion.

Koba yang mendahului Serdang dengan kelebihan dua mata dalam babak pertama di kedudukan 12-10 terus dicantas dalam babak seterusnya.





Koba cuba bangkit menerusi satu try menerusi Syabil Laila diikuti conversion Badrul Muktee, namun tidak sempat untuk menghambat mata Serdang dan hanya mampu berpuas hati dikalungkan pingat naib juara tahun ini.

"Pertama kali saya membimbing pasukan jadi ini juga kemenangan pertama buat saya.

"Saya amat gembira atas usaha mereka.

"Pemain-pemain ini telah dilatih dari peringkat akar umbi lagi.

"Selepas ini kami akan membuat persiapan bagi kejohanan tujuh dan 11 sebelah untuk peringkat MASUM (Majlis Sukan Universiti Malaysia)," kata ketua jurulatih Serdang, Faat Nor Rozi Ismail.

Menurut ketua jurulatih Koba, Indra Shahril Shaini: "Separuh daripada pemain kami dijangkiti COVID-19 dan kami berdepan kesuntukan masa daripada segi persiapan.

"Walaupun kalah dalam final tapi mereka juara di hati saya."