Persatuan Menembak Kebangsaan Malaysia (NSAM) menjelaskan sekurang-kurangnya lapan penembak negara akan mendapat kontrak latihan sepenuh masa bersama Majlis Sukan Negara (MSN).

Perkara itu antara agenda utama NSAM menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Bersama MSN di Bukit Jalil, hari ini.

Selaras dengan persiapan awal ke Sukan SEA Filipina dari 30 November hingga 11 Disember depan, seramai 20 penembak disenaraikan oleh NSAM tetapi hanya lapan daripada mereka dijangka mendapat kontrak latihan sepenuh masa.

Nadi Arena sebelum ini melaporkan jurulatih menembak negara, Baharuddin Hashim, hanya mempunyai tiga penembak sepenuh masa di bawah kendaliannya, antaranya Alia Sazana Azahari.

"MSN sedang mengenal pasti calon untuk menentukan pelatih sepenuh dan separuh masa.

"Kami mempunyai tempoh selama 10 bulan menjelang Sukan SEA.

"Kuota lapan penembak sepenuh masa sudah memadai memandangkan tidak banyak acara menembak dianjurkan dalam Sukan SEA," ujar Setiausaha Kehormat NSAM, Adam Tee.

Dalam pada itu, NSAM menjangkakan Lapang Sasar Menembak Kebangsaan Subang akan dapat digunakan semula selewat-lewatnya Mac ini.

Sebelum ini, persatuan itu membelanjakan lebih RM100,000 untuk meningkatkan tahap keselamatan venue berkenaan.

Antara peraturan yang ditetapkan ialah penembak tidak dibenarkan membawa keluar senjata dengan sewenang-wenangnya.

"Kami amat berharap wakil polis (seramai 20 orang) yang terbabit melakukan tinjauan di sini berpuas hati.

"Kami sedang menunggu lampu hijau daripada mereka," tambahnya.