Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail, sedia menggalas cabaran jika diarahkan mengambil alih Program Podium selepas Malaysia gagal mencapai sasaran kelompok 10 negara terbaik dalam Sukan Komanwel Gold Coast 2018 yang berakhir semalam.

Pegawai Program Podium perlu menerima hakikat mereka gagal ujian pertama.

Sejak ditubuhkan pada 2016, sasaran awal Program Podium ialah memastikan atlet negara berada dalam kelompok 10 negara terbaik di Gold Coast, apatah lagi mereka sudah menerima bajet RM145 juta daripada kerajaan.

Malaysia menamatkan cabaran di tangga ke-12 keseluruhan dengan tujuh pingat emas, lima perak dan 12 gangsa.

Rumusan awal kegagalan itu ialah masalah pegawai asing memahami cara kerja atlet, jurulatih dan pegawai tempatan.

Justeru, Ahmad Shapawi dikaitkan sebagai individu terbaik mengambil alih memandangkan beliau berpengalaman terbabit merangka beberapa program MSN.

"Apa sahaja keputusan atau perancangan yang dibuat merangkumi sesebuah organisasi, kita harus memberi sokongan.

"Tidak kira di mana saya saya berada walaupun bukan di bawah MSN sekalipun.

"Kami akan beri sokongan dan pastikan yang dikemudikan program-program MSN melalui agensi-agensi ini, mendapat sokongan terbaik, khususnya dalam MSN sendiri," katanya.

MSN mewujudkan program Kita Juara pada 2015 dan hasilnya, Malaysia muncul juara keseluruhan Sukan SEA Kuala Lumpur, tahun lalu.

Ia kali kedua dalam sejarah Malaysia menjuarai temasya itu.

Beberapa atlet dalam Program Podium seperti Irfan Shamsuddin, Nauraj Singh dan pelumba trek berbasikal negara, Fatehah Mustapha, gagal mencipta sebarang impak dalam temasya kali ini.