Persekutuan Lawan Pedang Malaysia (MFF) bakal menerima RM20,000 untuk menghantar atlet negara menyertai kejohanan kelayakan Sukan Olimpik Tokyo, April depan, namun presidennya, Rusni Abu Hassan, menganggap tabung derma masih relevan.

MFF mendapat berita gembira apabila Majlis Sukan Negara (MSN) sedia menampung sekitar RM20,000 untuk menghantar Joshua Koh I-Jie dan Hans Yoong menyertai kempen kelayakan Tokyo 2020.

Namun, Rusni berpandangan tabung derma masih lagi relevan untuk digunakan pada masa depan, apatah lagi atletnya tidak tersenarai dalam program MSN.

Jadi, tabung derma masih lagi alternatif terbaik untuk mengumpul dana.

"Tabung derma ini masih lagi relevan untuk dilakukan dalam mendapatkan dana untuk menghantar atlet ke Kejohanan Dunia atau Sukan Olimpik," katanya.

Joshua berjaya mengumpul RM60,000 menerusi tabung derma yang dilancarkannya menerusi media sosial.

Pemenang pingat perak acara epee Sukan SEA Filipina itu perlu menjuarai kempen kelayakan di Seoul, Korea Selatan untuk layak ke Tokyo.

"Kami tidak memiliki sebarang dasar serta ketetapan terhadap kutipan derma ini. Kami menyerahkan kepada pihak persatuan untuk menyelia perkara ini dan mengeluarkan cadangan kepada pihak MSN dalam pelan serta jadual pertandingan yang bakal dihadapi atlet," kata Pengarah Bahagian Persediaan Atlet MSN, Jefry Ngadirin.



Editor: Ammar Hakim