Sejajar dengan perancangan Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Sukan Negara (MSN) sudah pun memiliki kesinambungan program menuju ke Sukan Olimpik Paris 2024 dengan fokus kekal diberikan kepada beberapa sukan berpotensi.

Bagaimanapun, sukan baru yang dipertandingkan dalam temasya yang berakhir di Jepun, semalam, seperti papan luncur masih belum boleh diberikan perhatian oleh MSN biarpun mendapat pendedahan meluas di dalam dan luar negara, terutama golongan yang lebih muda.

"Bagi sukan baru seperti papan luncur dan (tarian) breakdance, walaupun ada atletnya yang pernah menang dalam Sukan SEA tapi prestasi mereka di peringkat dunia masih agak jauh.

"Dalam Sukan SEA 2019 pun mereka susah nak menang, jadi kami perlu lihat dengan lebih mendalam lagi mengenai apakah perkara teknikal yang boleh kami bantu kepada pihak persatuan atau jurulatih," kata Pengarah Bahagian Atlet MSN, Jefri Ngadirin, di Nadi Arena.





Dalam masa sama, sukan berpotensi untuk menghadirkan pingat seperti terjun dan berbasikal kekal antara fokus utama.

Justeru, MSN sedang merangka pelan untuk melahirkan atlet pelapis yang berwibawa pada masa akan datang.

"(Semalam), KBS baru sahaja mengumumkan tentang program khas ke aras Sukan Olimpik Paris 2024.

"(Tempoh) tiga tahun lagi tidak lama sebenarnya.

"Atlet yang berada dalam sistem perlu dipilih secepat mungkin untuk mereka memberi tumpuan kepada pusingan kelayakan.

"Tapi untuk (temasya Los Angeles) 2028, pada pandangan saya kami perlu jalankan program untuk atlet muda yang berumur bawah 20 tahun.

"Lagi lapan tahun untuk kami melakukan persiapan. 28 tahun adalah tahap umur yang sangat baik di kemuncak prestasi.

"Saya rasa kami akan berada di keadaan yang lebih baik untuk Sukan Olimpik akan datang."