Pelumba kategori Supersport, Muhammad Iqbal Quzaimy Azhar, menamatkan perlumbaan di tempat kedua dalam Kejohanan Superbike Malaysia (MSBK) pusingan kedua yang
berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang, hari ini.


Iqbal yang mewakili ARD Performance Motorsports ditewaskan oleh juara bertahan, Ismael Smajli dari BikeART Racing yang bermula di petak pertama.

Pelumba dari Jerman itu mencatat masa 27:28.504 saat, meninggalkan Iqbal yang menamatkan perlumbaan dengan catatan 27: 37.078 saat. Pelumba Singapura, Khurana Dhiraj, sekadar berpuas hati di tempat ketiga.
.
Bagi Iqbal, pusingan kedua ini menyaksikan dia dan rakan sepasukan lain semakin memperoleh rentak sebenar selepas pada mulanya gagal mengutip sebarang mata sewaktu pusingan pertama yang berlangsung pada Mac lalu.

Begitu juga yang diidamkan oleh Ismael yang menginginkan pasukan BikeART meraih juara keseluruhan untuk musim ini, dengan pelumba itu berjaya mengekalkan kejuaraannya
setakat ini

Pasukan BikeART bermula selesa selepas Ismael berjaya mengungguli kategori itu dalam perlumbaan sulungnya pada pusingan pertama Mac lalu, sebelum rakan sepasukannya, Azlan Shah Kamaruzaman, meneruskan kejuaraan dalam perlumbaan kedua.

"Pada pusingan pertama, saya memiliki masalah dengan motor saya dan dalam pusingan kedua, saya berjaya memberikan yang terbaik. Saya berharap dapat mengulangi kejayaan dalam pusingan ketiga dalam cabaran untuk muncul juara keseluruhan," kata Iqbal

"Segala-galanya berjalan dengan lancar, pencabar terdekat saya tidak memberikan saingan dan saya amat gembira dengan perlumbaan ini," jelas Ismael.