Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) mengutamakan persiapan skuad 15 sepasukan negara apabila mengambil keputusan menangguhkan saingan Liga Ragbi Malaysia (MRL) ke Januari 2019.

Menurut perancangan asal KRM, MRL sepatutnya bermula bulan depan selepas berakhirnya kempen Kejohanan Ragbi Asia (ARC) Divisyen Premier 2018.

Ia dijadualkan berlangsung sebelum Kejohanan Piala Agong yang bermula pada Oktober.

MRL disertai oleh pasukan berstatus kelab manakala Piala Agong bakal membabitkan pasukan di peringkat negeri.

Namun, Pengarah Pertandingan KRM, Fahmy Jalil, menjelaskan langkah untuk menangguhkan MRL lebih sesuai jika skuad negara mahu tampil lebih bersedia bagi menghadapi ARC tahun depan.

"Kami perlukan masa untuk persiapan bagi menghadapi ARC Premier tahun depan dan terdapat kekurangan seperti apa yang berlaku sebelum ini, di mana pemain melalui tempoh latihan selama enam bulan tanpa perlawanan dan aksi kecergasan. Jadi, MRL akan ditangguhkan untuk mendapatkan kesinambungan," kata Fahmy.

Penangguhan itu memberi peluang buat pemain kebangsaan untuk memberi tumpuan penuh kepada dua pertandingan berbeza sambil saingan Piala Agong menjadi peluang awal buat ketua jurulatih negara yang baru, Brad Mika, untuk menilai kemampuan mereka.

"Pemain yang akan beraksi dalam Piala Agong adalah kelompok yang sama bagi saingan MRL, cuma ia ditukar daripada kelab kepada negeri. Saya rasa ia tidak memberi masalah kepada pemain," tambahnya.