Rekod tanpa kalah Mersing Eagles dalam Liga Ragbi Malaysia (MRL) 2017 lebur dalam separuh akhir selepas tunduk kepada Asas RC.

Mersing sebelumnya memenangi kesemua perlawanan peringkat kumpulan sehingga ke separuh akhir, sekaligus menjadi pasukan pilihan menjuarai kejohanan tahun ini.

Mereka bermula baik menerusi try Muhammad Khairul seawal minit pertama untuk mendahului 5-0.

Begitupun, Asas mula mendapat rentak dan membalas menerusi dua try daripada Kelevi Rokoua Ketedromo dan Luqman Hakim.

Asas menambah satu lagi try pada minit ke-38 menerusi Kelevi dengan conversion disempurnakan Luqman bagi mereka selesa mendahului 20-12 menuju penamat separuh masa pertama.

Masuk babak kedua, Mersing meningkatkan tempo permainan dengan dua try dalam tempoh empat minit menerusi Farid Suzari dan Semi Nakaira.

Asas, bagaimanapun, kembali di depan menerusi try Khairul Amirin pada minit ke-62.

Persaingan terus sengit apabila try pemain Mersing, Adolosi Tuilonino, pada minit ke-64 menyaksikan kedua-dua pasukan hanya dibezakan satu mata.

Ketika Mersing melancarkan asakan demi asakan, kealpaan benteng akhirnya membuka peluang buat pemain Asas, Abdullah Farhan Aiman, melakukan try bagi mengesahkan kemenangan 35-29 untuk mara ke final.

"Mersing turun tanpa beberapa pemain-pemain utama, ia telah menjejaskan strategi pasukan menghadapi perlawanan ini," kata jurulatih Mersing Eagles, Badrul Hisham Jamaluddin.