Kapten skuad futsal Selangor, Muhammad Fariq Mohammad, percaya saingan Futsal Liga Perdana Malaysia (MPLF) 2019 menawarkan aksi kompetitif bertaraf tinggi menerusi format pertandingan timbal balik yang buat julung kalinya diadakan di Malaysia.

Selepas bertahun-tahun bersaing dalam kejohanan berbentuk karnival, pemain futsal tempatan akhirnya bakal mengharungi saingan liga futsal sebenar.

Ia susulan saingan MPFL yang baru diperkenalkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menampilkan kelainan dengan setiap pasukan akan beraksi di gelanggang sendiri dan di tempat lawan.

Fariq selaku pemain berpengalaman dalam kancah liga futsal tempatan mengakui perubahan format pertandingan itu akan menjadi cabaran utama kepada semua pemain untuk beraksi.

"MPLF sangat berbeza kerana dalam format karnival, kami akan bermain satu perlawanan berselang sehari tetapi dalam edisi kali ini, kami akan bermain sekali dalam tempoh tiga hari sepanjang kempen selama tiga bulan.

"Jadi, tempoh persiapan latihan itu akan menjadi perbezaan," kata Fariq.

Skuad Selangor akan menggunakan Stadium Panasonic Shah Alam sebagai gelanggang tuan rumah untuk kejohanan ini.

Mereka antara pasukan pilihan dalam edisi pertama MPFL di samping Pahang, Perak dan Terengganu menerusi kelibat beberapa pemain kebangsaan.

"Pasukan pilihan mengejar status pasukan terbaik tetapi bagi skuad muda, mereka tidak akan rugi apa-apa, jadi mereka akan berhempas pulas," kata pengurus futsal Selangor, Mimi Afzan Afza.