Skuad Terengganu tidak mahu mengambil mudah cabaran pasukan tercorot Liga Futsal Perdana Malaysia (MPFL), KL City FC, menjelang pertemuan di tempat sendiri, esok.

Jurulatihnya, Mohd Rozairi Ahmad, berkata walaupun belum mencatat kemenangan musim ini, KL City FC masih pasukan yang berpengalaman dibarisi bekas tonggak negara.

Malah, kelonggaran aspek bertahan lebih membimbangkan pengendali Terengganu itu selepas mereka dibolosi 13 gol dalam tiga perlawanan terakhir.

"Saya masih hormat kualiti yang ada pada KL City FC kerana mereka boleh dikatakan pasukan yang serba tahu dan sudah lama bertapak.

"Pemain-pemain diingatkan tidak terlalu yakin, malah kami hanya seri 2-2 dalam pusingan pertama walaupun mendahului dua gol," katanya.

Rozairi turut mengesahkan penjaga golnya yang juga kapten, Tengku Azraf Fahmi Che Ku Sulong, yang sudah kembali daripada kecederaan tetapi masih belum dapat diturunkan.

Kelibat penjaring terbanyak pasukan, Akil Khalis Adli Khairuz, akan terus ditagih selain pasangan kembar, Mohd Hafiz dan Mohd Hafizi Ismail, untuk merobek gawang lawan.

Menurutnya lagi, moral skuad Terengganu semakin melonjak naik susulan kebangkitan mengikat pasukan pilihan, Pahang, 5-5 di Shah Alam, kelmarin.

"Corak permainan menyerang akan dikekalkan selain dalam masa sama, memperkemaskan unit bertahan.

"Saya harap dapat menggunakan kelebihan di depan penyokong sendiri seterusnya membaiki kedudukan dalam liga," tambah Rozairi.