TERENGGANU 5 KEDAH 1

Dua jaringan Alif Mat Amin dan Mohd Hafizi Ismail membantu kemenangan 5-1 Terengganu ke atas Kedah dalam aksi Liga Futsal Perdana Malaysia (MPFL) di Kuala Terengganu, sebentar tadi.

Aksi menghiburkan diperaga kedua-dua pasukan dan Kedah memiliki peluang terbaik pada minit ke-11 menerusi sepakan bebas Shahmi Abdullah Sani.

Terengganu cuba membalas serangan hadir mencemaskan kubu pelawat menyaksikan percubaan kencang Azlan Nasti Anwar (m-12) ditepis penjaga gol Kedah.

Aksi semakin rancak giliran Kedah memaksa penjaga gol tuan rumah, Zikry Aiman Zamri, menggunakan kaki untuk menyelamatkan usaha Khairul Affandi Azaimi pada minit ke-18.

Alif memecahkan kebuntuan sebelum rehat selepas menyambung hantaran Haziq Shahiran Marzuki dari sebelah kanan untuk menjadikan kedudukan 1-0 untuk Terengganu.

Babak kedua semakin rancak dengan lima gol terhasil -- empat daripada Terengganu -- bermula minit ke-24 melalui Hafizi yang menyudahkan gerakan Amirrul Izzad Adang.

Kombinasi dua pemain itu menjadi lagi pada minit ke-33 apabila Hafizi menjaringkan gol ketiga Terengganu sebelum Muhd Nazren Ramli (m-34) merapatkan kedudukan 1-3 buat Kedah.

Jaringan keempat Terengganu dicipta seminit kemudian kali ini giliran Alif yang membuat umpanan menarik untuk disempurnakan Azlan.

Kemenangan Terengganu dilengkapkan pada minit ke-35 menerusi Alif yang melencongkan bola ke penjuru pintu gol lawan dan menjadikan kedudukan 5-1.