TERENGGANU 8 PERAK 3

Terengganu memberikan persembahan luar biasa untuk membenam Perak 8-3 dalam aksi terakhir Liga Futsal Perdana Malaysia (MPFL) di Kuala Terengganu, sebentar tadi.


Kemenangan itu sekali gus membolehkan Terengganu untuk memintas Perak di kedudukan ketiga liga dengan perbezaan gol untuk membawa pulang hadiah RM30,000.

Memerlukan hanya kemenangan besar untuk memintas Perak, Terengganu bermula langkah kiri apabila dibolosi pada minit kelima hasil jaringan pemain negara, Awalluddin Mat Nawi.

Mohd Hafizi Ismail kemudian menyamakan kedudukan pada minit ketujuh menerusi sepakan penalti sebelum Amirrul Izzad Adang (m-16) meletakkan tuan rumah 2-1 di depan.

Aksi selepas rehat semakin sengit dengan Terengganu melebarkan jurang melalui Mohd Irwan Mazlan (m-32), Muhd Fitrah Mohamad (m-33) diikuti gol kelima daripada Amirrul pada minit ke-34.

Kerancakan permainan dicemari layangan kad merah ke atas ketua pasukan Perak, Muhd Shamar Fadzil, memaksa pelawat kekurangan seorang pemain selama dua minit.

Kelebihan itu gagal digunakan Terengganu yang memilih jalan sukar apabila Perak merapatkan jurang daripada jaringan Awalluddin dan Mohd Ridzwan Bakri pada minit ke-38.

Dengan kedudukan 5-3 berbaki seminit, Terengganu melaksanakan misi mustahil dan Hafizi, Mohd Hafiz Ismail serta Fitrah muncul wira tuan rumah pada saat-saat akhir.

Kredit foto: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)