Skuad futsal Selangor melakar kemenangan kedua berturut-turut dalam Liga Perdana Futsal Malaysia (MPFL) selepas mengetepikan cabaran Melaka 3-1 di Kompleks Sukan Panasonic, Shah Alam, sebentar tadi.

Kemenangan 5-0yang diraih ke atas Perak dalam aksi sebelum ini menjadi pencetus semangat mereka ketika berdepan Melaka.

Permainan agresif yang ditampilkan Selangor dalam 10 minit pertama memaksa Melaka melakukan kesilapan apabila Selangor berjaya memecah kebuntuan pada minit kedua permainan.

Shamsul Akmar Zamri bijak menggunakan peluang terhidang untuk melakukan lorongan kepada Syed Aizad Daniel Syed Nasir untuk meledak gol.

Selangor yang dibimbing Addy Shairullyzam Shafiee menambah jaringan selang lima minit kemudian menerusi Muhammad Azri Rahman, dengan Shamsul Akmar sekali lagi bertindak selaku perancang untuk membuka ruang buat Azri menjaringkan gol

Melaka yang menurunkan skuad muda mengurangkan defisit jaringan apabila Najmi Rosli meledak jaringan mengatasi penjaga gol Selangor, Azrul Hadee Mohd Taufiq.

Enggan memberi peluang untuk Melaka bangkit, tuan rumah meningkatkan lagi rentak permainan selepas perlawanan bersambung dalam babak kedua. Beberapa siri percubaan yang dilakukan barisan pemain Selangor, bagaimanapun, berjaya dinafikan penjaga gol Melaka, Syahman Idris.

Tekanan dipamerkan Selangor akhirnya memberikan keselesaan apabila Shamsul Akmar menjaringkan gol ketiga yang meleburkan harapan Melaka untuk bangkit.

"Saya menerima keputusan ini dengan positif kerana Melaka menurunkan barisan muda berdepan Selangor dan memberikan saingan.

"Ini merupakan satu pengajaran berguna buat kami dan memastikan persembahan yang lebih berkualiti dapat ditampilkan untuk perlawanan seterusnya," kata jurulatih Melaka, Mohamad Isah Rahim.

"Kami bersyukur di atas kemenangan ini. Walaupun jadual yang padat selepas beraksi Ahad lalu, pemain-pemain berjaya mengatasi segala halangan yang dihadapi dan menampilkan satu lagi persembahan mantap ketika mengatasi Melaka," kata Addy.

Dalam saingan yang berlangsung di Azman Hashim Sports Arena, USM, Pulau Pinang sekadar seri 3-3 dengan Kuala Lumpur.