Selepas melalui dua perlawanan tanpa kemenangan, jurulatih Perak, Ruzaley Aziz, berharap anak buahnya dapat memberikan persembahan lebih baik ketika menentang Kuala Lumpur dalam saingan Liga Futsal Perdana Malaysia (MPFL) di Kompleks Sukan Panasonic, Shah Alam, petang esok.

Sebelum ini, Perak diaibkan dengan kekalahan 5-0 oleh Selangor dalam perlawanan pertama, hujung minggu lalu.

Mereka kemudian terikat 3-3 dengan Kedah dalam perlawanan kedua, Rabu lalu.

Bagaimanapun, Ruzaley, yang mempertaruhkan lima pemain kebangsaan, optimis mampu meraih kemenangan pertama ke atas Kuala Lumpur.

"Semestinya kami mahukan kemenangan pertama.

"Kami telah gagal sebanyak lima kali selepas tewas 0-5 kepada Selangor dalam perlawanan pertama dan seri 3-3 dengan Kedah dalam perlawanan kedua.

"Kali ini, kami akan pastikan kemenangan.

"Kami tidak boleh menyalahkan sesiapa kerana sudah mencuba dan berdasarkan statisitk, kami juga banyak menghasilkan percubaan dalam perlawanan pertama.

"Saya rasa masih belum rezeki kami.

"Nak salahkan sesiapa pun tak boleh juga tetapi kami akan terus berusaha," katanya.

Dalam pada itu, pemain tengah Perak, Awalluddin Md Nawi, bertekad untuk membantu pasukannya meraih kemenangan.

Baginya, meskipun Kuala Lumpur hanya mempertaruhkan barisan muda, ia bukan alasan untuk mereka memandang rendah keupayaan lawan berkenaan.

"Saya akan membuat yang terbaik untuk pasukan dan mahu membawa Perak pergi lebih jauh.

"KL (Kuala Lumpur) banyak pakai budak-budak muda.

"Mereka amat laju tetapi saya rasa Perak mampu menyaingi mereka," katanya.