Pulau Pinang merakamkan kemenangan bergaya dalam saingan Liga Perdana Futsal Malaysia apabila menewaskan Kuala Lumpur 6-3 sebentar tadi.

Di separuh masa pertama, perlawanan tampak sengit apabila pemain tengah Pulau Pinang, Syahril Ezuwan Sadre, menghasilkan jaringan gol pertama, namun KL berjaya menyamakan kedudukan menerusi Izuwan Shah Adham Shah.

Sebelum tamat babak pertama, skuad dari utara itu menjaring dua lagi gol sebelum KL mampu merapatkan jurang dengan satu gol sebelum tamat separuh masa pertama, 3-2.

Di separuh masa kedua pula, KL mula hilang semangat selepas melihat peluang untuk menyamakan kedudukan semakin samar dengan beberapa kali percubaan dihalang namun sekadar berjaya menghasilkan satu jaringan.

Aksi cemerlang berjaya dipamerkan Pulau Pinang apabila menambah tiga jaringan bagi memastikan kemenangan 6-3.